1. Empat pagi ana menyurat,
malam jumaat nama hikayat;
menyatakan Ilmu disisi tersurat,
demikian pula disisi tersirat.
2. Sebagaimana kita tahunya,
menuntut Ilmu wajib adanya;
walau ke negeri China tempatnya,
dari buaian sampai lahadnya.
3. Bila disebut kalimah Ilmu,
ada yang ghairah tiada jemu;
ada yang lekas menjadi jemu,
ada yang asyik dalam Ilmu.
4. Maka terjadi demikian rupa,
kerana tersalah mengambil makna;
sehingga leka lupa dan alpa,
gemarkan ehwal yang pesona.
5. Jika ditanya kepada orang,
baik yang lembut mahupun garang;
apakah maksud Ilmu sekarang,
pasti dijawab,"Pengetahuan lah Bang."
6. Maka ini hamba nyatakan,
adalah Ilmu dua bahagian;
pada yang zahir satu bahagian,
pada yang batin satu bahagian.
7. Pada yang zahir seperti difahami,
oleh kita yang awam ini;
adalah ia pengetahuan insani,
luas bacaan ia meliputi.
8. Ilmu pada fahaman awam,
tersusun ia dikitab tersergam;
atau dari manusia beragam,
asal boleh dihafal faham.
9. Boleh dituntut dengan bersungguh,
sehingga dahi berpeluh peluh;
siang malam duduk bersimpuh,
membaca memahami kitab lusuh.
10. Sehingga lupa mengambil faedah,
untuk amalan Yaumil Qiyamah;
kitab lusuh dingerti sudah,
hanya manfaat untuk berhujjah.
11. Kalau begitu cara fahamnya,
tertakluk Ilmu pada luarannya;
hanya mengumpul maklumat sedunia,
sedia menjawab sebarang soalannya.
12. Sungguh sang awam telah berpegang,
pada maksud yang kurang terang;
cahaya Ilmu tiada cemerlang,
hanya pandai mendongeng mengarang.
13. Kalau hanya mengumpul maklumat,
dari kitab berkebat kebat;
tiap baris dimuka surat,
dimanakah ia titik penamat?.
14. Jika berhujjah menjadi penamat,
semua yang bodoh dilibas lumat;
dimanakah pula letaknya hormat?,
bukankah nanti timbul kesumat?
15. Baik baik mengambil makna,
makna Ilmu senjata kita;
kerana Ilmu amalan bermula,
tersalah faham sesatlah hala.
16. Adapun Ilmu pada batinnya,
hanya sang Arif yang memegangnya;
maka Ilmu diberi makna,
terkandung dalam empat syaratnya.
17. Yang pertama itu menghayatinya,
jernihkan fikiran yang keduanya;
mendarah daging yang ketiganya,
yang keempat mengawal nafsunya.
18. Bila sempurna seluruh syaratnya,
demikian itu menepati maknanya;
kalimah ILMU yang kita baca,
kelak sampai lah maksud Batinnya.
19. Pada makna yang Zahir itu,
sekadar mengumpul maklumat baru;
tanpa ada yang boleh dilaku,
hanya berhujah menghemtam seteru.
20. Pada makna yang Batin nanti,
membawa insan membentuk diri;
memperelok akhlak dan budi pekerti,
semakin rapat dengan Illahi.
21. Baik baik lah kita perhati,
setiap tingkah juga budi;
dalam mencari ILMU SEJATI,
supaya terang maksud RABBANI.
22. Faham faham makna ILMU,
pada istilah fahamkan dulu;
agar tidak tersalah pandu,
mencari panduan untuk menuju.
23. Bukanlah Ilmu boleh dimengerti,
membaca menyalin maklumat berketi;
sampai lupa habuanNya diri,
akal merana hati pun mati.
24. Ingat - ingat Ilmu dituntut,
mesti diamal berpatut-patut;
kelak disana Dia menuntut,
tidakkah kita kelam kabut.
25. Yang terang Iman sendiri,
yang gelap Nafsu sendiri;
yang Sesat diri sendiri,
yang Benar tegap berdiri.