Wednesday, 26 December 2012

PUISI NAKSIHAT ARABU WALON 4

TALI PERSAUDARAAN


Ramai ingin jadi nakhoda
Kapal hanya perlu satu
Takhta, harta, wanita tergoda
Tempat iblis berkumpul di situ

Semua saudara ada kaitan
Berpadu lagi kuat ikatan
Syak wasangka yang bukan-bukan
Sudah sepadu terlerai ikatan

Jangan hancurkan ikatan suci
Yang terbendung sejak azali
Selalu bermaaf sikap terpuji
Kasih sayang tak dapat dibeli

Saudara selalu perlu mengingat
Berganding bahu paut semangat
Bercerai roboh berkecai lumat
Cuainya iman iblis menyengat

Dugaan hidup penuh bermakna
Setiap seorang diberi tak sama
Dihitung amalan adil saksama
Hukuman ilahi wajib diterima

Sehelai rambut dalam tepung
Menarik keluar sungguh rumit
Kerja zahir batin menanggung
Hujung rambut hingga ke tumit.

Selawat adanya lekat dihati,
Setiap masa diamal teliti;
Sedang amalan selalu diperhati,
Mana boleh tidak diingati.

Jangan disoal ketentuan Allah,
Bukan manusia haknya mengubah;
Elak pantas pun kena rebah,
Masih degil, demam tak kebah.

Bersabar diam terima seadaNya,
Memohon doa selama-lamanya;
Sampai bila jangan ditanya,
Usah risau bukan dianiaya.


PUISI NAKSIHAT ARABU WALON 3

PERIHAL EGO

Ego terbentuk sekelip mata
Tidak akui hanya pendusta
Kerana permata atau mahkota
Punca hati melarat buta

Berego disangka pertahan maruah
Akibatnya diri terjadi murah
Hilang kawalan habis tercurah
Akhirnya sendiri naik marah

Jika tersalah mengaku saja
Lebih mulia dari anak raja
Malah kesilapan bukan sengaja
Ambil yang jernih jadikan baja

Jangan menegak benang yang  basah
Nanti penat ditimpa susah
Ingin tahu akhirnya kisah
Sesaat iman boleh terpisah

Akal menakal mengenal erti
Dihati teragak keadaan sebenar
Ketetapan iman membantu hati
Supaya cahaya di dalam bersinar

Titik hitam di dalam hati
Tempat iblis membina kota
Wabak demikian tidak berhati
Penyakit melarat menjadi buta

Nur tajali sifat Allah
Sifat menjadi kalam Allah
Taat pada ajaran Rasulullah
Cermin dihati dijamin cerah